Rasional Dasar Kabotaj

Tuesday, July 9, 2013

Kabotaj ataupun Cabotage merangkumi pengangkutan barangan atau penumpang pada dua lokasi yang berbeza dalam negara (domestik) menggunakan laluan laut, udara dan darat. Hak Kabotaj pula merupakan hak sebuah negara untuk mengendalikan semua laluan tersebut secara domestik. Kabotaj bertujuan untuk mengehadkan perdagangan kapal kargo asing ke perairan domestik untuk menjaga kepentingan pasaran rakyat tempatan. Dasar ini turut di aplikasikan oleh beberapa negara lain di dunia termasuk Amerika Syarikat, Indonesia dan Filipina.

Pic Credit : notesfromthevomitorium.blogspot.com

Dasar Kabotaj telah di laksanakan di Malaysia melalui pindaan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 sejak 23 tahun yang lepas lagi melalui Dasar Kabotaj Negara yang dilancarkan pada 1990. Dasar Kabotaj di Malaysia mementingkan perkhidmatan perkapalan di antara pelabuhan tempatan dan menyediakan perkhidmatan perkapalan di perairannya serta juga menawarkan Zon Eklusif Ekonomi kepada kapal-kapal yang didaftarkan di Malaysia. 


Dasar Kabotaj bukan sahaja penting untuk memelihara kepentingan ekonomi tetapi juga kepentingan strategik negara. Dasar ini akan mengurangkan aliran wang keluar dan seterusnya dapat menjana ekonomi negara, terutama dalam bidang perkapalan nasional. Pada tahun 2009, Kerajaan telah meliberalisasikan Dasar Kabotaj dan membenarkan dagangan 'transshipment' iaitu pindahan antara kapal bagi kontena melalui beberapa pelabuhan terpilih termasuklah Pelabuhan Teluk Sepanggar.

Baru-baru ini terdapat isu yang menyatakan bahawa Dasar Kabotaj merupakan punca barangan di Sabah naik. Untuk menyatakan harga barangan naik berikutan Dasar Kabotaj sahaja adalah tidak wajar. Ini kerana kos bagi barangan yang dibekalkan akan melibatkan beberapa kos tambahan lain seperti kos pelabuhan, fowarding, trak, penyimpanan, dan pengendalian terminal. Untuk menghapuskan Dasar Kabotaj ini infrastruktur dan pengurusan logistik perlu di fikirkan terlebih dahulu. Apakah kos pemindahan ini akan menjadi lebih murah atau semakin membebankan?

Kota Kinabalu telah di berikan taraf sebagai bandar raya pada 2 Februari 2000, iaitu 13 tahun yang lepas, dan untuk menjadi sebuah bandar raya terdapat beberapa kriteria yang di nilai. Sudah tentu kos sara hidup turut menjadi kayu pengukur terhadap kemajuan sesebuah bandar raya. Kenaikkan harga barangan terkawal seperti gula, tepung, minyak masak dan lain-lain akan sentiasa menjadi sasaran, terutama ketika dekat dengan musim perayaan. Faktor kenaikkan lain ialah tindakan sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan lebih, geografi, dan juga populasi penduduk.

Gesaan untuk menghapuskan dasar ini perlu di timbang semula kerana, sekiranya perlindungan hak kabotaj di buka, kepentingan perkapalan negara akan terjejas. Industri perkapalan negara sudah tentu tidak dapat bersaing dengan syarikat pekapalan asing kerana tidak ada lagi pengecualian atau perlindungan yang dapat diberikan kepada perkapalan nasional. Perkapalan asing juga sudah tentu akan menetapkan harga sesuka hati mereka.

Dengan memberikan perlindungan kepada industri perkapalan tempatan, sekurang-kurangnya kita dapat melindungi kedaulatan perairan kita sendiri. Indonesia dan Filipina turut mengambil langkah mengetatkan lagi Dasar Kabotaj mereka untuk menjaga kepentingan maritim mereka sendiri. Kenapa tidak Malaysia?

Oleh :




Source : Wikipedia, www.mima.gov.my

0 comments:

Post a Comment