Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

Tuesday, July 2, 2013


Ramai lagi rakyat yang masih kurang memahami konsep GST, malah ada yang memberi persepsi negatif apabila cadangan pelaksanaannya dibincangkan secara lebih serius sehingga ke Dewan Rakyat. Sebenarnya cadangan untuk mengganti sistem cukai jualan dan perkhidmatan kepada cukai konsumpsi yang digelar sebagai GST telah diumumkan pada pembentangan bajet 2005 oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. 


Pelaksanaan GST ini awalnya telah dicadangkan untuk dikuatkuasa pada 1 Januari 2007. Bajet 2005 mengusulkan untuk menyusun semula sistem percukaian negara termasuk mengkaji peruntukan yang disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan kerajaan. 



Terdapat dua jenis cukai utama yang dikenakan kepada rakyat Malaysia yang pertama cukai pendapatan (income tax) dan yang kedua cukai penggunaan (consumption tax). Cukai pendapatan adalah cukai yang dikenakan keatas segala pendapatan termasuk gaji, bonus, hadiah, komisen, dividen dan sebagainya. Manakala cukai penggunaan dikenakan keatas barangan yang dibeli atau perkhidmatan yang kita gunakan. GST terletak dibawah kategori cukai penggunaan (consumption tax). GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada. 


Pada masa ini cukai jualan dikenakan ke atas barangan ketika diimport atau di peringkat perkilangan. Cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu termasuk profesional, hotel dan restoran. GST didakwa sebagai sistem cukai yang lebih komprehensif, efisyen, telus dan efektif. Ia juga diduga akan menambahkan pendapatan cukai tahunan untuk kerajaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata mekanisma pencukaian baru itu boleh menjamin pendapatan tambahan sebanyak RM20 bilion hingga RM27 bilion, apabila matang.



APA ITU GST?


VAT/GST diperkenalkan di Perancis pada 1954 oleh Maurice Lauré, untuk mengganti sistem yang sangat bergantung kepada cukai yang tidak menentu berdasarkan jualan bagi menyeimbang dengan sistem cukai pendapatan yang tidak begitu berkesan.

Kini 138 negara melaksanakan Value Added Taxes (VAT) sementara beberapa negara – terutama US, mengenakan cukai jualan, biasanya cukai pada satu aras sahaja diperingkat runcit. Dalam hamper semua negara cukai-cukai ini adalah sama ada penyumbang terbesar atau penyumabang kedua besar kepada peroleh negara.



GST atau dalam Bahasa Inggeris Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.

GST adalah cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. GST dikutip daripada pelanggan untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai. Lazimnya, pembekal atau penjual boleh mendaftar untuk mengutip GST jika jumlah jualan tahunan bagi produk atau perkhidmatan yang dibekal melebihi jumlah tertentu yang ditetapkan.

GST diambil kira dalam setiap tahap urus niaga. Jumlah jualan barangan dan perkhidmatan (dikenali juga sebagai bekalan) merupakan jumlah nilai yang diterima oleh organisasi perniagaan (tidak termasuk GST) ke atas semua aktiviti yang dicukai.

Aktiviti yang dicukai merangkumi aktiviti yang dijalankan secara berterusan. Organisasi perniagaan yang berkenaan hendaklah membekal (atau bersetuju untuk membekal) barangan atau perkhidmatan kepada pengguna sama ada untuk tujuan mendapat untung atau tujuan lain seperti aktiviti perdagangan, pembuatan, kerjaya, persatuan atau kelab.

Harga bekalan yang dijual ditetapkan selepas mengambil kira GST. Organisasi perniagaan juga boleh menuntut kredit cukai bagi setiap GST yang telah dimasuk kira dalam bekalan yang dibeli untuk tujuan mengendalikan perniagaan. Kredit cukai ini dikenali sebagai “kredit cukai input”.


KEPENTINGAN PELAKSANAAN GST


GST perlu dilaksanakan untuk meluaskan kadar kenaan cukai kepada semua individu dan perniagaan di Malaysia lalu menambah pendapatan kerajaan secara tidak langsung. GST juga akan menutup kelemahan pengurusan cukai SST seperti cukai berganda, lari daripada cukai (tax evasion) dan sebagainya. Untuk pengetahuan kawan-kawan daripada jumlah penduduk (populasi) seramai 28 juta di Malaysia kurang daripada 10% membayar cukai pendapatan manakala daripada keseluruhan tenaga buruh (workforce) seramai 11 juta di Malaysia peratusan yang membayar cukai pendapatan (income tax) adalah lebih kurang 25%.

Bermakna mereka yang membayar cukai pendapatan adalah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang menerima manfaat daripada kerajaan seperti BR1M, BB1M dan segala bentuk jenis subsidi yang lain. GST akan menjadikan setiap lapisan masyarakat sama ada miskin, sederhana atau kaya membayar cukai untuk menyumbang kepada pendapatan kerajaan.

GST TIDAK ADIL KEPADA ORANG MISKIN?


GST nampak tidak adil kepada mereka yang berpendapatan rendah kerana mereka terpaksa membayar cukai pada kadar yang sama seperti mereka yang berpendapatan tinggi. Oleh sebab itu kerajaan disamping melaksanakan GST perlu memperkenalkan pakej atau program seperti bayaran tunai atau rebat kepada mereka yang berpendapatan rendah. Program sekarang seperti BR1M boleh dijadikan contoh tetapi pelaksanaannya perlulah teliti dan lebih sistematik agar bayaran tunai untuk menangani kos GST tidak tiris dan terdedah kepada penyelewengan (contohnya: orang yang tidak layak juga terima BR1M).


Konsep cukai penggunaan (consumption tax) seperti GST adalah semakin banyak anda membeli barang atau menggunakan perkhidmatan semakin banyak cukai yang dibayar. Bermakna anda boleh mengawal perbelanjaan anda secara berhemah dan berjimat. Mereka yang berpendapatan tinggi akan membayar cukai lebih tinggi apabila mereka berbelanja lebih berbanding mereka yang berpendapatan rendah hanya akan berbelanja mengikut kemampuan mereka. Program bantuan tunai daripada kerajaan akan mengurang kesan GST kepada mereka yang berpendapatan rendah.

KESAN GST


GST jika dilaksanakan seperti di negara lain contohnya Singapura, apabila GST dilaksanakan kadar cukai pendapatan (income tax) akan dikurangkan secara berperingkat. Ini akan memberi kesan positif kepada pembayar cukai pendapatan di mana mereka akan ada lebih pendapatan boleh guna (disposable income) untuk dibelanja atau disimpan. Walaubagaimanapun kerajaan Malaysia masih belum bercadang untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan, mungkin ia akan dimaklumkan kemudian hari. GST juga secara tidak langsung akan menggalakkan rakyat menyimpan untuk pelaburan dan berbelanja secara berhemah dan jika perlu sahaja.


Mengenai kerisauan di kalangan kita bahawa GST akan meningkatkan harga barangan, memang tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah barangan akan naik harga tetapi pada masa yang sama ada juga barangan yang akan turun harga setelah kadar GST 4% ini dilaksanakan kerana sebelum ini SST 6-10% dikenakan maka ada penguranagan kadar cukai disitu. Harga KFC, tiket wayang, bil telco akan berkurang sedikit manakala barangan yang tidak dikenakan cukai SST sebelum ini seperti barangan elektrik, komputer dan sebagainya akan meningkat sedikit. Kita perlu perbetulkan pemahaman dan salahfaham mengenai konsep GST sebelum menganggap ia semata-mata akan menaikkan harga barang.


Kerajaan juga akan membentuk jawatan kuasa yang memantau serta mengawal kadar kenaikan harga barang agar kenaikan harga barang tidak mendadak dan peniaga tidak akan mengutip untung berlebihan.

0 comments:

Post a Comment